Menghayati semangat Badar Al-Kubra

Kita sekarang sudah pun memasuki suku kedua bulan Ramadhan pada tahun ini-1427-. Dalam kita meneruskan semangat untuk meningkatkan lagi ibadah dalam fatrah keampunan daripada Allah S.W.T pada bulan melimpah ruah rahmat dan keampunanNya marilah kita sama-sama menghayati perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat baginda dalam mengharungi medan Badar Al-Kubra dengan keadaan yang penuh keimanan didada masing-masing.Sebagai umat yang prihatin, tarikh keramat 17 Ramadan setiap tahun mestilah kita sambut dengan jiwa yang berkobar-kobar dan semangat juang yang tinggi dalam diri umat Islam yang inginkan kemenangan hakiki tertegak. Bukan sahaja tarikh 1 Januari,1 Mei, 31 Ogos dan sebagainya menjadi ingatan kita tetapi tarikh tercetusnya peristiwa bersejarah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad S.A.W sepatutnya menjadi satu tarikh untuk disambut dengan penghayatan yang semaksima mungkin.

Menyingkap kembali sejarah yang telah terpahat kemas ini membuatkan hati kita akan bertambah yakin kepada Allah S.W.T yang mana walaupun jumlah para pejuang untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T amatlah sedikit berbanding tentera yang inginkan kenikmatan dunia semata-mata tetapi kemenangan tetap berpihak kepada hizbullah.

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah (kerana kamu sedikit bilangan dan kekurangan alat perang) oleh itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuriNya.
(Ali-Imran:123)

Dan barang siapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya,sesungguhnya puak atau pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.(Al-Maidah:56)

Manakala hizbussyaitan, thaghut dan aliran pemikiran yang tidak berpaksikan kepada pengabdian kepada Yang Maha Pencipta tersungkur rebah disebalik deruan memuji Rabbul A’lamin pejuangNya.

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang rugi. (Al-Mujadalah:19)

Betapa keyakinan pejuang agama Allah tidak luntur sedikitpun berhadapan dengan musuhNya walaupun diwaktu yang tersepit sekalipun sehinggakan kita terlupa bahawa Allah S.W.T tetap bersama kita dimana sahaja kita berada, disamping kukuhnya pentarbiahan yang diterima daripada Nabi Muhammad S.A.W. dan apa yang mereka lakukan adalah untuk meninggikan kalimatullah.

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:40)

Perjuangan para sahabat dibantu oleh malaikat yang setia dengan perintah Allah. Inilah sunnatullah yang berputar setiap zaman dan masa yang tidak akan berubah walau sedikitpun tetapi kita perlu ingat nusrah ini akan turun jika kita betul-betul menolong agama Allah dan yakin dengan apa yang telah dijanjikan Allah S.W.T.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.(Muhammad:7)

Kita tidak dapat lari dari mempersoalkan tentang perjuangan kerana seharian kita dapat meneruskan kehidupan dibumi Allah S.W.T menggunakan berbagai-bagai nikmat kurnian Ilahi kepada kita. Apakah seruan Allah supaya kita melaksanakan perkara yang baik dan mencegah kefasadan yang berlaku tidak kita sahut dengan hati terbuka?

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali-Imran:104)

Kita hendaklah menjadikan semangat penolong agama Allah S.W.T-yakin dan terus berjuang- dalam perang Badar Al-Kubra sebagai panduan untuk kita dalam melaksanakan amanah Allah yang berat ini.

Serangan yang bertalu-talu kepada umat Islam sejak akhir-akhir ini menuntut kebersamaan kita dalam menghadapinya. Kita tidak akan mampu untuk melawan seorang diri tetapi kesatuan fikrah dan amalan penting untuk menangkis balik serangan musuh Islam yang memang ingin melihat kita berpecah belah dan rapuh bagai buih dilautan meskipun berjumlah berbilion-bilion ramainya manusia beragama ISLAM!

Related Posts with Thumbnails

Comments

No Comments

Leave a reply

Name *

Mail *

Website