Perang!

Isu Semasa, Rencah Kehidupan No Comments

Alhamdulillah sekarang berada di teratak sendiri mengikuti perkembangan serba sedikit kehangatan Pilihan Raya. Walaupun tidak sempat lagi untuk memasuki dengan lebih mendalam disebabkan fatrah ziarah ke rumah saudara mara sebelah saya dan zaujah membuatkan saya keletihan sepanjang masa.

Betapa semangat untuk menolong agama Allah terserlah setelah saya memulakan ‘tugas’ dengan menjadi pemasang  bendera di sekitar kampung. Dengan menaiki van untuk mengangkut bendera ke setiap jalan dirasakan seolah-olah sedang menaiki kereta kebal untuk ke medan perang. Deretan batang buluh yang telah di pasang bendera diletakkan di atas van untuk di pacak di kawasan kampung.

Keriuhan orang ramai memasang bendera kedengaran di kalangan budak-budak sampai ke orang tua. Memang kali ini kelihatan berbeza dengan PRU sebelum ini yang mana dapat diperhatikan ramai kalangan pemuda dan budak-budak yang keluar menolong.

Ada kalangan orang kampung awal-awal lagi telah memesan jangan hanya bersemangat separuh jalan dan jangan terus pudar setelah ditawarkan pekerjaan. InsyaAllah saya akan terus dengan niat suci untuk menolong agama Allah dan jangan sekali-kali hiraukan celaan orang yang mencela.

Malam ini Ketua Pemuda Kawasan Kubang Kerian, Cikgu Nuri datang melawat ke kampung untuk meninjau-ninjau perjalanan persiapan pilihan raya di samping memberi sedikit sumbangan untuk membina pintu gerbang. InsyaAllah di kampung ini masih lagi seperti dulu dari segi sokongan tetapi entah macam mana berlaku setelah habis PRU

—————————-

2 tahun setengah meninggalkan kampung semacam tidak percaya dengan perubahan yang berlaku. Di sepanjang jalan Pasir Hor sudah terpenuhi dengan deretan rumah kedai dan bermacam perubahan lagi berlaku. Ramai orang dikenal meninggal dunia dan bermacam masalah timbul yang menanti cahaya untuk menerangi mereka.

Hari ini hari pertama memasang internet di rumah dengan plan 1mb..fuuh..seronok sebab dapat meneruskan kerja-kerja yang tertangguh selama ini. Tidak lagi pening memikirkan line putus-putus lagi :)

Selamat Tinggal Ardul Kinanah

Rencah Kehidupan 9 Comments

Sayu rasanya ingin meninggalkan bumi yang banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar kepada diri ini. Dari mula menjejakkan kaki ke sini telah tertanam dalam lubuk hati ingin menggali ilmu buat bekalan negeri abadi sebanyak mungkin tapi apakan daya diri ini tidak mampu mengutip mutiara yang bertaburan di sini.

Bumi yang penuh dengan ujian dan mehnah kepada sesiapa yang pernah tinggal di sini hanya dapat diungkap oleh penghuninya sahaja. Dari mula sampai sekarang tidak putus ujian yang menimpa yang sebenarnya ingin mendidik diri ini sifat sabar dalam bentuk praktikal bukan teori sahaja.

Kepada mereka yang dapat mengambil pengajaran kesusahan para Nabi yang pernah mendiami bumi ini akan merasa bertambah keyakinan bahawa semua ini tidak akan disia-siakan oleh Allah begitu saja malah akan dibalas dan diganjar dengan kenikmatan yang tidak mampu kita fikirkan.

Pengalaman dapat melihat sendiri masyarakat Arab bermasyarakat dan bermualamalat sesama kita dapat digambar hikmah Allah mengutus Nabi-Nabi kepada bangsa ini. Sifat keras, berani dan sebagainya yang berbeza dengan masyarakat Melayu dapat dilihat dalam pergaulan sehari-hari.

Selamat tinggal bumi Kaherah yang menjadi tempat pertama diri ini bermukim sementara. Hayyu Sabie’ dan Hayyu Asyir tidak akan akan dapat dilupakan. Bumi Tanta khususnya Siberbil menjadi saksi diri ini mengenal peri peritnya berada dinegara orang. Imarah Melayu, Masjid Umar Al-Khattab dan cyber cafe Figo dan lain-lain menjadi tempat diri ini menghabiskan masa mencari identiti diri.

Ujian yang menimpa disaat ingin menghadapi imtihan fasal kedua baru sekarang terserlah hikmahnya yang mana walaupun terpaksa mengulang tahun tetapi diri ini berbangga dapat menghadapi dengan tenang sekarang ini. Setelah keyakinan dibulatkan kepada Allah diri ini meneruskan hasrat untuk melangsungkan perkahwinan walaupun dilihat masih muda dan mentah.

Tetapi diri ini dapat membuktikan kepada semua orang yang keyakinan kepada Allah tidak dapat mengatasi segalanya. Allah tidak akan membiarkan hambanya terkapai-kapai sendirian setelah keyakinan ditanam kukuh. Buat apa risau tentang rezeki sebabnya kita sendiri pun Allah yang memberi rezeki apatah lagi isteri dan anak kita. Tetapi keyakinan yang tidak disandarkan dengan usaha adalah tidak tepat melainkan kita kena juga berusaha walau sedikit.

Perkahwinan telah membawa diri ini ke bumi Mansurah. Syarie’ Madrob menjadi tempat beradu kami selama hampir setahun 8 bulan mendiami teratak turun temurun ini. Di bumi Mansurah juga telah ditakdirkan untuk bertemu dengan pelbagai masyarakat baik Melayu dan Arab. Karenah mereka semua tidak mampu ditanggung dengan mujahadah yang sedikit malah memerlukan daya kekuatan yang padu dan jitu untuk menghadapi tabiat orang sekeliling.

Dengan niat yang suci dan ikhlas ingin membantu Bait Muslim telah menaikkan diri ini ke tempat yang tidak pernah terfikir dapat menjawatnya. Walaupun tidak dapat meneruskan kesinambungan Bait Muslim Mansurah tetapi diri ini bertuah dapat mempelajari banyak perkara khususnya dalam bermasyarakat.

Apakan daya Allah tidak mentakdirkan diri ini terus berada di sini bersama sahabat-sahabat lain. Keputusan mengejut untuk pulang ke Malaysia bukan kerana ingin lari dari memikul tanggungjawab tetapi komitmen lain yang lebih penting terpaksa diaulakan. Ibu bapa merupakan orang paling diri ini utamakan. Dari dulu sampai sekarang tidak pernah putus berdoa supaya Allah merahmati kedua ibu bapa sebagaimana mereka mendidik kita semasa kecil.

Pengalaman menjaga seorang anak telah membuatkan diri ini sayu mengenangkan pengorbanan mereka. Pulangnya diri ini ingin membalas segala jasa mereka sementara diberi peluang kerana tidak mahu menyesal tidak sempat berbakti semasa hayat mereka.

Selamat tinggal Syarie Madrob, selamat tinggal Dewan DPJA, selamat tinggal Suk, Selamat tinggal Muhafazah, selamat tinggal Sikah, selamat tinggal Gamaah dan semuanya..Entah bila kita akan dapat bertemu kembali.

Persiapan pulang ke Malaysia

Adsense, Cari Duit, Motivasi, Rencah Kehidupan 1 Comment

Hampir 3 minggu saya tidak updated blog disebabkan saya sedang membuat persiapan untuk pulang ke Malaysia. InsyaAllah saya akan bertolak dari airport Mesir pada 13/2/08 dengan menaiki penerbangan Egypt Air.

Setelah memikirkan dengan semasak-masaknya saya mengambil keputusan drastik yang mengejutkan semua pihak di sini. Tidak ramai yang menyangka saya akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini melainkan Daing dan Ustaz An. Pengalaman di Mesir khususnya di bumi Mansurah banyak mengajar saya erti pergaulan dalam masyarakat yang dinamik dan kompleks.

Berat sebenarnya ingin meninggalkan bumi Mesir yang tersimpan seribu satu ujian kepada penghuninya. Walaupun tidak sempat untuk mengutip mutiara hikmah dengan syeikh-syeikh dan ulama’-ulama’ tetapi jauh disudut hati saya mempunyai keinginan untuk datang semula setelah dua tahun lebih mensia-siakan masa selama berada di sini.

Salah satu yang ingin saya kongsi adalah saya merasa cukup bertuah dan berbangga kerana telah mendirikan rumahtangga dan mendapat seorang cahaya mata yang comel di sini. Perkara utama yang mengajar saya dalam hidup berumahtangga adalah sifat berdikari yang pupuk yang mana walaupun dalam keadaan sempit dan kesuntukan kewangan telah mencetuskan satu gelombang dalam minda untuk berusaha mancari sumber kewangan tanpa bergantung kepada orang tua.

Alhamdulillah saya berjaya meneroka ilmu mencari duit melalui internet melalui forex, adsense affiliate dan sebagainya. Ilmu ini bukan mudah untuk diperolehi melainkan bagi seseorang yang terdesak dan sehabis mampu untuk memikirkan cara menghasilkan duit.

Saya sudah boleh berbangga disebabkan saya sudah tidak lagi bergantung kepada orang tua dalam menyara anak isteri di perantauan. Sebenarnya ini telah membuka ruang kepada saya untuk mendapatkan pendapatan sampingan tanpa bergantung kepada kerajaan dengan menjadi guru JQAF atau seumpamanya.

Saya pulang ke Malaysia bukan kerana JQAF ( minta maaf Daing saya bukan begitu ) dan bukan untuk kerja semata-mata sebabnya kalau ingin menghasilkan LE 4000 sebulan saya boleh dapatkan dengan Adsense sahaja tetapi saya ada misi yang tersendiri dan yang pasti hanya orang tertentu saja yang faham.

Seperti kata Zul ringkas kepada saya ” Balik juang ” dalam maknanya untuk difahami…Saya ingin aplikasikan dalam kehidupan nyata kita. Kita di sini tidak sampai tahap yang sebenar lagi tetapi medan kita yang sebenar adalah di Malaysia. Semoga saya tetap thabat…

————————–

Adsense untuk bulan Januari melebihi target yang mana mencapai USD 813 sedangkan saya target hanya USD 500 dan untuk bulan 2 saya tidak sempat monitor jadi target saya hanya USD 500

Adsense